23 June 2010

Kehancuran Kota

Beliau lahir di Baghdad pada 1926; Abdul Wahab al-Bayati yang menulis puisi—aku meminjamnya hari ini—ketika menyertai pergerakan “massa Tafila” antara 1945 hingga 1957. Tajuknya “Ucapanku” ringkas saja:

Tuan dan puan


Ucapanku ringkas saja
Aku bimbang ia memakan masa.
Lidahku
Bukan batang kayu.
Bicaraku, puan, adalah emas,
Bicaraku, tuan, adalah sebuku kemarahan.
Aku tidak mabuk, cuma letih.
Lilin mula meliuk-liuk lalu padam,
Malamku semakin dingin.
Aku bawa jiwaku dalam bekas kosong,
Seperti anak yang sudah mati,
Kerana pengkhianatan dan muslihat murahan.
Ucapanku ringkas saja,
Dan aku tidak mabuk, hanya melayan derita.
Aku tidak punya kuasa:
Rome sudah hancur
Batinku kelemasan,
Kerana berjuta pengkhianatan dan muslihat mereka.
Selamat tinggal
Tuan dan Puan.
Rome sudah hancur! (Aku tukar maksud kota itu kepada; seni-budaya—barangkali sama saja). Kehancuran adalah tragedi dan sejarah. Mustahil ia kembali—menyamai yang lama, yang sudah hancur itu. Pada zaman Kuala Lumpur dan Malaysia ditiup pembangunan materialisme seperti hari ini; kota yang disebutkan Abdul Wahab, sesungguhnya sebuah Rome yang sudah hancur!
Begitu juga dengan bertempiarannya manusia Melayu seawal 1970-an, mencari serpihan kehancuran abad ke-15 apabila kota Melaka juga hancur! Atau ada yang berkata kegemilangan yang hilang atau disembunyikan (?), atau apa saja. Mudahnya ini juga kehancuran.
Ramai masih ingat pada 1973 berlangsung Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Kuala Lumpur. Enam tahun sejurus itu, sekolah seni lukis di Universiti Teknologi Mara (dulunya ITM) membicarakan pula doktrin “Akar-Akar Pribumi.”
Rupa-rupanya inilah `kota’ yang hancur, hilang dan perlu dicari gali, dikutip; manusia Melayu yang tercabut akar budayanya – untuk terkumpul semula agar membangunkan kembali kota yang punya wajah seraut berteraskan seni budaya sendiri. Inilah juga identiti. Tetapi i.d.e.n.t.i.t.i mungkin persis kota Rome yang hancur—juga kota Melaka.

30 April 2010

Hadiah


Emak datang KL, kelmarin. Dengan abah. Adik lelaki saya interview untuk masuk universiti. Mereka tidur sini. Satu malam.
Setiap kali emak datang, dia bawa lauk siap-siap. Dia tahu, saya tak pernah masak. Asam pedas, kacang panjang dan udang goreng. Nasi satu mangkuk tepen. Kami makan.
“Ini hadiah apa kau dapat?” emak tanya bila dia lihat, tepi TV, saya letakkan.
Biasanya tak saya bubuh sebarang penghargaan, baik piala atau gantung-gantung sijil pada dinding. Sebab rumah bersepah, belum sempat sorokkan dalam gerobok.
“Ohhh… menang tulis cerpen,” saya jawab.
“Cerpen apa?”
“Rambutan dan Lembeng Awang,” jawab saya.
“Siapa kasi?” emak tanya. Dia belek-belek kertas yang berserak tepi kerusi panjang.
“Goment!” Saya jawab, agak lambat.
“Goment mana?”
“Selangor.”
“Cerpen kau?”
“A’ahhh!”
“Rambutan? Macam cerpen budak darjah satu!”
Emak ketawa. Saya sebenarnya yang ketawa dahulu.
Tentulah, apa erti sebuah kemenangan, tak akan dapat terjawab tanpa sebelum itu disedari, apa erti sebuah lumba karya? Apakah ia seperti acara olah raga, siapa lebih kuat ototnya, maka dia menang?
Saya tak pernah ikut pertandingan tulis menulis, bukan sebab saya tak percaya sebarang pertandingan, tetapi saya tidak percaya kepada pemerintah yang bersemayam di atas piala pertandingan itu. Sedari universiti saya sudah menghidu, karya wajib disesuaikan dengan selera pemerintah andai mahu menang, andai nak diangkat di permukaan arus perdana–sementara sejak sekian lama, karya saya, paling tidak untuk saya merasakannya sendiri–sering tidak cocok dengan kekuasaan-politik perdana.
“Kekuasaan-politik” di sini bukan bermaksud parti politik yang berkuasa sahaja. Bukan juga kepada pimpinan politik. Namun, juga terkait dengan “ideologi” dan “faham politik” yang melakar-corak di belakang kebudayaan kontemporari bangsa ini.

19 January 2006

Dengan 1600 Patah Kata Menuju Mei

TEMAN-TEMAN dan kekasihku; masanya telah tiba—mungkin mulai Mei ini. Selalu perasaanku merasakan kesuntukan waktu. Tiada aku tahu mengapa?
Tujuh tahun adalah tujuh tahun yang menyakitkan—tapi hari ini aku sudah punya kamu antara yang menyenangkan. Katamu—apa perlu sesal? Tidak! Sudah tentu aku akan lebih kuat untuk merempuh, yang lebih pedih, bersama.
Siapa tahu. Tak siapa yang dapat menjamin, esok kita adalah esok yang lebih baik. Akal waras zaman sudah lama kecundangan. Satu-persatu kita kapani tarikhnya. Kebebasan; kata yang muluk itu; ia tidak ada dengan sediakala ada. Ia lama dahulu, sejak kita kenal diri bangsa kita, sudah kesakitan dan dekat ajal. Aku pesimis, teman; pesimis dengan cara yang kita pilih selama ini. Tapi, aku mendiamkannya. Cuma sekali ini, bila datang “Mei yang lain,” yang lama terpendam; kelaparan, kesakitan, derita, kesunyian; mungkinkah berakhir?
Teman-teman dan kekasihku—mengapa diam? Usah gentar, kalaupun kamu gementar…