07 September 2010

Ketua AMK: Hasmi belum umum tanding tapi sertai debat khas | September 07, 2010

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Hasmi Hashim yang pernah bertanding jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tiga tahun lalu akan mengambil bahagian dalam debat calon sayap pemuda PKR itu, 18 September ini.

“Saya mengumumkan persetujuan untuk hadir pada program Debat Calon Ketua AMK anjuran badan bukan kerajaan, UREKA,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Hasmi, 34, yang juga Ketua PKR Cabang Parit Sulong belum membuat keputusan muktamad setakat ini sama ada bertanding lagi kali ini merebut jawatan ketua AMK.


Ketika dihubungi The Malaysian Insider sama ada ia petanda bahawa akan bertanding lagi jawatan ketua AMK, Hasmi berkata, “saya menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat tafsiran.”

“Saya akan membuat pengumuman penting ketika itu dan dari semasa ke semasa,” kata Hasmi yang ditewaskan oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin pada pemilihan 2007.

Debat berkenaan akan dianjurkan pada 18 September di Taiping, Perak dan pertama kali diadakan melibatkan pertandingan tertinggi sesebuah parti dalam sejarah politik tanah air.

Bahagian-bahagian PKR memulakan sidang perwakilan mereka pada 17 September ini.

“Saya berasa bertanggungjawab hadir apabila cadangan mengadakan debat sedemikian datangnya daripada saya sendiri ketika kempen bertanding jawatan sama kira-kira tiga tahun lalu dalam Kongres AMK di Seremban.

“Pentas berkenaan akan saya gunakan sebaiknnya untuk mengemukan agenda dan gagasan terbaik untuk masa depan AMK dan anak-anak muda Malaysia,” kata beliau.

Hasmi berkata beliau mengalu-alukan agar debat ini dapat dianjurkan di negeri-negeri lain seluruh sebelum proses pemilihan berlangsung agar seluruh anggota AMK dapat membuat keputusan yang rasional bukan berasaskan emosi, sentimen atau arahan.

“Dengan jayanya program bersejarah ini membuktikan bahawa Keadilan adalah sebuah parti yang bukan sahaja bersifat demokratik, tetapi menyediakan pentas ke arah nilai demokrasi berkenaan,” kata beliau.

Pada 2007, Shamsul Iskandar dipilih sebagai Ketua AMK setelah mengalahkan Hasmi.

Rabu lalu, ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Mohd Rafizi Ramli mengumumkan akan bertanding jawatan ketua AMK kali ini.

Ketua Ekskutif Penasihat Ekonomi Selangor itu berkata keputusan menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan itu adalah dengan matlamat untuk melakukan satu perubahan dalam mendekati generasi muda.

Beliau juga mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves Amirudin Shari yang juga Naib Ketua AMK akan bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua AMK yang kini disandang Fariz Musa sebagai anggota pasukannya.

Khamis lalu, Hasmi memberitahu The Malaysian Insider bahawa akan mengumumkan pendiriannya sama ada bertanding lagi ataupun sebaliknya sebelum sambutan Aidilfitri.

Berita dari TheMalaysianInsider.

No comments: