Tentang

HASMI HASHIM, 34, lahir di Batu Pahat, Johor. Lulusan Fakulti Seni Halus, UiTM Shah Alam (1994-98) sebelum ini dikenali sebagai penulis dan budayawan di samping bergiat aktif bersama Gerakan Reformasi sejak 1998. Bertanding sebagai calon Keadilan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Semerah, Johor dalam Pilihan Raya Umum ke- 12 dan mencatat keputusan pilihanraya terbaik sepanjang keputusan PRU bagi DUN berkenaan. Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Cabang termuda (2007-sehingga kini), selain pernah aktif mendirikan kelompok penulis dan pemikir muda "Telawi"; bersama Institut Kajian Dasar (IKD), Pusat Graduan Timur Tengah (MegC) dan Pusat Dialog Terbuka (ODC). Selepas PRU-12, beliau bertugas selama dua tahun sebagai pembantu Ahli Parlimen Telok Kemang selain sejak beberapa tahun lalu beliau merupakan salah seorang penulis ucapan Presiden Keadilan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Pernah bertugas di akhbar parti, Berita Keadilan (2000-2003) selain mengisi ruang Sastera Budaya, Berita Harian (1998-2001), portal Kakiseni dan Jalantelawi.com. Beliau kini dalam proses akhir menyiapkan novel sulongnya, "Lay": rakaman kisah perjuangan Reformasi 1998. Hasmi juga dikenali sebagai penulis lirik dengan nama pena Buddhi Hekayat dan hasil karyanya meliputi penyanyi ternama tanahair seperti lagu kumpulan Spider ("Ajaib"), Hafiz AF "Awan Nano" di bawah naungan Luncai Emas Sdn Bhd. Selain pernah menubuhkan Kesatuan Bulutangkis Melayu Muda (KBMM) dua tahun lalu, kini beliau merupakan pelopor dan pengerusi Republik Anak Muda (RAM); sebuah gabungan aktivis muda.

Hasmi juga merupakan alumnus Institut FNS dan Jerman (2005), menyertai Pameran Antarabangsa Gwangju Bianelle, Korea Selatan (2001). Beliau juga dianugerahkan sebagai salah seorang pemenang Bakat Muda Selangor 2010 anjuran Kerajaan Negeri Selangor.


"Hasmi Hashim - Buddhi Hekayat yang saya kenal kerana puisi dan pidatonya yang hebat. Sosok yang tidak pernah putus ide dan mudah mesra dengan siapa sahaja yang dekat dengannya."
-Hilman Idham


"Hasmi Hashim itu sosok yang punya aura berbeza. Aura ilmuan dan budayawan yang punya resonan seorang pemimpin masa depan. Anak muda senang berpaut padanya. Oleh sebab itu, Hasmi ini didokong mahasiswa."
- Pengunjung Pekan Frinjan


"Budhhi Hekayat? Dialah yang tulis lagu Spider tu.. Ape? Ajaib?"
-Pendengar Radio ERA.fm