Showing posts with label Hasmi bin Hashim. Show all posts
Showing posts with label Hasmi bin Hashim. Show all posts

05 September 2010

Jernih dari Luther

LUTHER—akan ada yang tetap mengingati engkau.
Agaknya beberapa orang sedang menghitung-hitung jari; kalau tahun ini, kalau dia masih hidup, umurnya tujuh puloh enam. Dia seorang orang tua. Tapi, kalau takdir dapat dialih dan dia tidak ditembak pada petang 4 April 1968, tentu pada saat ini Martin Luther King, Jr. sedang berdiri tampan di depan sejarah yang ia ciptakan. Barangkali seperti yang kita lihat kepada Nelson Mandela untuk Afrika Selatan, yang berbicara dan menjadi bahagian daripada promosi Sukan Olimpik 2006.
Luther—akan ada yang tetap mengingati engkau. Hendaknya seperti melihat dan mendengar engkau dengan sebuah “mimpi” yang sama; bagi bangsa kami yang sedang mencari jalan keluar daripada gua asabiyah. Kami di sini masih dipisahkan oleh warna kulit; masih dibakar api benci atas nama Tuhan.
Di tanahair—di negara yang pernah kuat sekali bangsa Kulit Puteh menekan-tindas manusia kulit hitam; penindasan yang bukan hanya dalam corak hidup tiap hari, tapi juga dalam undang-undang yang tidak tuntas—hari jadi Luther tetap dikenang orang.
Di banyak bahagian Republik itu; di kolej-kolej, universiti dan badan-badan sivil yang wibawa; orasi dan syarahan direncana dan ramai sekali tokoh yang berbicara. Presiden George W Bush mengulur-ngulur tangan seakan-akan meniru kembali gaya ketika Luther berorasi di dekatKennedy Center, Universiti Georgetown, dan dengan tetap bersemangat melontarkan pidato kenang-kenangan. Anak-anak mahasiswa menyanyikan lagu koir di satu sudut. Pada dinding belakang, tergantung potrait Sang Tokoh setinggi-tingginya. “Let Freedom Ring,” seperti nyanyian bersama; kata yang seirama.
Tidak lupa juga untuk mengaut “political mileage” dalam sambutan hari jadi Luther ialah Gabenor California, Arnold Schwarzenegger. Lewat sehari kemudiannya, Arnold menyampaikan orasi selamat paginya di dekat San Francisco. Dan memang di mana-mana pun, Luther tidak dilupakan; di Boston, di New Orleans, di Georgia, New York, Jose De Diego, di Chicago, di dekat seluruh Amerika.
Saya tidak pasti, apakah kita yang di Kuala Lumpur ini menyedari bahawa Luther pernah hadir di muka sejarah apabila pada petang semalam (21 Januari 2006)—enam hari selepas hari lahir Luther—ratusan orang berdemonstrasi untuk tujuan yang lain daripada tujuan mencapai maksudkebebasan dan demokrasi.
Mungkinkah di sana ada Tuhan? Siapa yang begitu optimis?

24 August 2010

Testamen Politik Anak Muda I

Menggaris-luruskan Sejarah
Sejarah selalu bengkang-bengkok. Termasuk sejarah kemerdekaan Tanah Melayu. Atas kesedaran dan keinsafan ini, maka perlu dinyatakan dengan sejelas-jelasnya bahawa sejarah kemerdekaan Tanah Melayu bukan hanya bersisi “damai”. Kemerdekaan bangsa dan tanah air kita juga dengan korban jiwa.
Adalah dusta besar apabila sejarah kemerdekaan Malaysia hanya didominasi oleh parti-parti politik. Bertambah dusta apabila cuba digambarkan hanya oleh sebuah parti politik. Perjuangan, malah kesedaran tentang wujudnya kezaliman oleh pemerintah (penjajah) tercetus bahkan sebelum wujudnya parti-parti politik. Adalah mustahil kesedaran atau perjuangan parti mendahului perjuangan insan; sedangkan parti itu sendiri wujud (tertubuh) kerana kesedaran manusia.
Nama-nama seperti Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Indera dan ramai lagi tidak boleh dipandang sebagai di luar kegigihan menuntut kemerdekaan. Tanpa menolak tokoh-tokoh yang lahir selepas wujudnya parti politik; namun sangat mendukacitakan, sangat rugi dan tidak benar andai hanya tokoh atau nama tertentu sahaja dimuatkan sebagai pejuang kemerdekaan.
Samalah halnya apabila disemak soal parti yang berjuang untuk kemerdekaan.

23 June 2010

Kehancuran Kota

Beliau lahir di Baghdad pada 1926; Abdul Wahab al-Bayati yang menulis puisi—aku meminjamnya hari ini—ketika menyertai pergerakan “massa Tafila” antara 1945 hingga 1957. Tajuknya “Ucapanku” ringkas saja:

Tuan dan puan


Ucapanku ringkas saja
Aku bimbang ia memakan masa.
Lidahku
Bukan batang kayu.
Bicaraku, puan, adalah emas,
Bicaraku, tuan, adalah sebuku kemarahan.
Aku tidak mabuk, cuma letih.
Lilin mula meliuk-liuk lalu padam,
Malamku semakin dingin.
Aku bawa jiwaku dalam bekas kosong,
Seperti anak yang sudah mati,
Kerana pengkhianatan dan muslihat murahan.
Ucapanku ringkas saja,
Dan aku tidak mabuk, hanya melayan derita.
Aku tidak punya kuasa:
Rome sudah hancur
Batinku kelemasan,
Kerana berjuta pengkhianatan dan muslihat mereka.
Selamat tinggal
Tuan dan Puan.
Rome sudah hancur! (Aku tukar maksud kota itu kepada; seni-budaya—barangkali sama saja). Kehancuran adalah tragedi dan sejarah. Mustahil ia kembali—menyamai yang lama, yang sudah hancur itu. Pada zaman Kuala Lumpur dan Malaysia ditiup pembangunan materialisme seperti hari ini; kota yang disebutkan Abdul Wahab, sesungguhnya sebuah Rome yang sudah hancur!
Begitu juga dengan bertempiarannya manusia Melayu seawal 1970-an, mencari serpihan kehancuran abad ke-15 apabila kota Melaka juga hancur! Atau ada yang berkata kegemilangan yang hilang atau disembunyikan (?), atau apa saja. Mudahnya ini juga kehancuran.
Ramai masih ingat pada 1973 berlangsung Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Kuala Lumpur. Enam tahun sejurus itu, sekolah seni lukis di Universiti Teknologi Mara (dulunya ITM) membicarakan pula doktrin “Akar-Akar Pribumi.”
Rupa-rupanya inilah `kota’ yang hancur, hilang dan perlu dicari gali, dikutip; manusia Melayu yang tercabut akar budayanya – untuk terkumpul semula agar membangunkan kembali kota yang punya wajah seraut berteraskan seni budaya sendiri. Inilah juga identiti. Tetapi i.d.e.n.t.i.t.i mungkin persis kota Rome yang hancur—juga kota Melaka.