09 September 2010

Panggil Duta Pulang: Jangan Gopoh.

Gesaan Pemuda Umno agar Duta Malaysia di Jakarta dibawa pulang, tak lain, adalah kurang bijak, kalut dan tergesa-gesa. Apa yang perlu tentunya, bagi pemerintah Malaysia khususnya ialah segera memanjang rundingan kepada perkara dan isu-isu berbangkit.

Memang, kita tak boleh memandang ringan keselamatan rakyat Malaysia di mana pun, namun, dalam masa sama saya percaya, rakyat Indonesia juga umumnya masih punya hati nurani dan rasa persaudaraan erat. Tindakkan memanggil Duta Malaysia pulang hanya membayangkan hubungan Malaysia-Indonesia, di ambang putus; ini sama sekali tidak membayangkan realiti sebenar dan akan lebih mengeruhkan keadaan.

Ketengangan mutakhir ini bukan tidak punya latar, termasuk daripada isu “hukuman cabuk”, hak lagu “Rasa Sayange”, “kes Manohara” sehinggalah soal tarif gaji (khususnya pembantu rumah) Indonesia yang dikatakan beku sejak sedekad lalu. Dalam kata lain, di pihak Malaysia wajar menyedari bahawa soal keadilan-ekonomi berhubung upah Tenaga kerja Indonesia (TKI) adalah soal dasar yang menyebabkan hubungan kedua negara bergelora.

Persoalan inilah yang perlu diberi tumpuan—selain membandingkan tarif dan tangga gaji pekerja Indonesia di negara-negara lain sama ada di Singapura, Hong Kong, Arab Saudi mahupun beberapa negara Eropah. Kalau kita punya hujah kukuh betapa tangga gaji yang sedia ada munasabah dan setimpal, maka saya percaya kata sepakat bisa tercapai.

Kita perlu bersetuju dengan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi menyegerakan proses rundingan ke atas isu-isu yang belum beres. Arakian, ia harus dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Proses rundingan yang pura-pura dan tidak berbasis fakta akan hanya jadi "acara media' yang sia-sia; yang ditampilkan manis di bibir, pepat di dalam. Paling penting, wakil yang mahu berunding wajar dilihat cukup berwibawa; memahami sejarah dan hati-budi kedua bangsa serumpun ini.

Strategi rejim yang paling biadap tidak lain ialah menggunakan isu dan menimbulkan ketegangan antara wilayah dan antar-negara bagi tidak lain tidak untuk menunggah sentimen dan sokongan domestik. Ini strategi era Dr Mahathir Mohamad, era Lee Khuan Yew; kaedah nan serupa dikesan dalam banyak rejim autoritarian dan diktator. Ia tak sesuai lagi untuk sebuah zaman di mana maklumat mengalir sebegini deras.

Hasmi Hashim,
Batu Pahat, JOHOR.

No comments: