05 September 2010

Jernih dari Luther

LUTHER—akan ada yang tetap mengingati engkau.
Agaknya beberapa orang sedang menghitung-hitung jari; kalau tahun ini, kalau dia masih hidup, umurnya tujuh puloh enam. Dia seorang orang tua. Tapi, kalau takdir dapat dialih dan dia tidak ditembak pada petang 4 April 1968, tentu pada saat ini Martin Luther King, Jr. sedang berdiri tampan di depan sejarah yang ia ciptakan. Barangkali seperti yang kita lihat kepada Nelson Mandela untuk Afrika Selatan, yang berbicara dan menjadi bahagian daripada promosi Sukan Olimpik 2006.
Luther—akan ada yang tetap mengingati engkau. Hendaknya seperti melihat dan mendengar engkau dengan sebuah “mimpi” yang sama; bagi bangsa kami yang sedang mencari jalan keluar daripada gua asabiyah. Kami di sini masih dipisahkan oleh warna kulit; masih dibakar api benci atas nama Tuhan.
Di tanahair—di negara yang pernah kuat sekali bangsa Kulit Puteh menekan-tindas manusia kulit hitam; penindasan yang bukan hanya dalam corak hidup tiap hari, tapi juga dalam undang-undang yang tidak tuntas—hari jadi Luther tetap dikenang orang.
Di banyak bahagian Republik itu; di kolej-kolej, universiti dan badan-badan sivil yang wibawa; orasi dan syarahan direncana dan ramai sekali tokoh yang berbicara. Presiden George W Bush mengulur-ngulur tangan seakan-akan meniru kembali gaya ketika Luther berorasi di dekatKennedy Center, Universiti Georgetown, dan dengan tetap bersemangat melontarkan pidato kenang-kenangan. Anak-anak mahasiswa menyanyikan lagu koir di satu sudut. Pada dinding belakang, tergantung potrait Sang Tokoh setinggi-tingginya. “Let Freedom Ring,” seperti nyanyian bersama; kata yang seirama.
Tidak lupa juga untuk mengaut “political mileage” dalam sambutan hari jadi Luther ialah Gabenor California, Arnold Schwarzenegger. Lewat sehari kemudiannya, Arnold menyampaikan orasi selamat paginya di dekat San Francisco. Dan memang di mana-mana pun, Luther tidak dilupakan; di Boston, di New Orleans, di Georgia, New York, Jose De Diego, di Chicago, di dekat seluruh Amerika.
Saya tidak pasti, apakah kita yang di Kuala Lumpur ini menyedari bahawa Luther pernah hadir di muka sejarah apabila pada petang semalam (21 Januari 2006)—enam hari selepas hari lahir Luther—ratusan orang berdemonstrasi untuk tujuan yang lain daripada tujuan mencapai maksudkebebasan dan demokrasi.
Mungkinkah di sana ada Tuhan? Siapa yang begitu optimis?

Yang saya pasti, sekalipun terbaris panjang ucapan-ucapan, di dalam atau di luar dewan, di pelusuk bumi mana sekalipun, itu semua masih belum bisa menandingi hanya sebaris kata, “I Have a Dream…” Demi itu, ada kenyataan yang seharusnya kita terima, yakni, keadilan tidak mungkin ada kalau kebebasan tidak ada. Dan, dalam demontrasi-demontrasi yang dengan mudah memakai nama “demokrasi,” belum tentu di saat yang paling getir nanti, kita masih kuat untuk menegakkan keyakinan yang sama. Luther punya jawab, yang ia utus dari penjara: The ultimate measure of a man is not where he stands in moments of comfort and convenience, but where he stands at times of challenge and controversy.
Intrik politik Amerika pada 50-an dan 60-an menunjukan bahawa tidak semua politikus kulit hitam ‘bersama’ Luther. Kecaman kepadanya pun selalu tiba—sementara di bawah kecaman itu juga selalu ada cemburu, sudah tentu.
Sejurus Luther selesai memberikan orasinya, yang tiba bukan sahaja pujian, tetapi juga kritikan. Luther dituduh cenderung abstrak, dengan gagasan dan idea yang tidak jelas. “Sepatutnya yang dibawakan oleh saudara Luther,” begitu suara kritik terdengar, “bukan “mimpi,” tapi “perancangan.” Sepatutnya bukan “I have a dream,” tapi, “I have a plan.” Dan dengan memakai kata “plan” (perancangan), yang boleh digambarkan ialah perjuangan akan lebih tergaris, jelas. Lebih realistik untuk kejayaan dicapai.
Kita tahu, tekanan dan penindasan di Amerika, terutamanya sekitar 1950-an memang cukup buruk. Tetapi, bagaimana dalam keadaan penindasan yang begitu “nyata,” yang diperlu ialah mengatur rencana yang “jelas”? Bagaimana “yang jelas” mampu untuk menombrak tembok-tembok ketidakadilan? Ini perlu juga dipertanyakan…
Luther merasakan bahawa tembok yang menghadang kejayaan itu bukan tembok yang di luar fikiran, bukan tembok yang boleh diraba dengan jari, tapi tembok yang di dalam benak pemikiran dan kalbu setiap individu. Impian untuk kebebasan bagi rakyat Amerika—khususnya kaum kulit hitam—belum ada, dan impian itulah yang perlu diwujudkan terlebih dahulu.
“I Have a Dream” mengingatkan saya kepada kata “Reformasi.” Hari ini mulai ada orang yang mempersoal tentang makna dan isi “Reformasi” yang dikatakan tiada jelas—selain daripada kata itu diasosiasikan dengan demonstrasi, misalnya. Soalan ini nampak seperti realistik, dan dikatakan juga semakin releven, terutama selepas period “Anwar pasca Sungai Buloh.”
Sepertimana Luther yang pernah dipersenda tentang makna “mimpi-nya” itu, begitulah Anwar setidak-tidaknya juga dihurung soalan yang sama. Kita sedar, “soalan” juga selalu merupakan “ejekan,” cuma, bagi bangsa yang belum pernah kenal erti kebebasan dan demokrasi, “reformasi” menjadi kata awal yang mengetuk-ngetuk pintu ke arah sana.
Agaknya seperti Luther, Anwar perlu diam. Di dalam beberapa majlis dan pidatonya, dia cuba untuk menjawab, dan menjawab, dan orang bertanya lagi soalan yang sama, tanpa putus. Yang menjadi persoalan bukan lagi “soalan,” tapi nampaknya orang yang bertanya itu sendiri. Sementara kerja Anwar bukan menjawab, tapi bekerja.
Di sisi lain, soalan itu sesungguhnya salah satu daripada petanda bahawa kata “reformasi” rupa-rupanya sangat kuat menangkap imaginasi ramai rakyat Malaysia. Ada contoh yang lain, seperti “Islam Hadhari,” yang nampaknya lebih ‘sempurna’ dan ‘teratur’ daripada kata konsep “reformasi,” tapi, masih tidak sekuat mana dalam perannya menangkap imaginasi.
Demi galaknya hendak menolak gagasan ini, Presiden Umno, Abdullah Badawi terpaksa mengambil sikap “apologetic politics” apabila beliau terpaksa menjual ayat Quran yang sama dengan yang popular sebagai “ayat gerakan reformasi.”
—Tentu saya sedar, Quran bukan milik Anwar atau Abdullah, tetapi kita juga harus melihat bagaimana ayat seruan “Islah” dalam Suruh Yusuf, “secara politiknya,” pertama kali bersungguh-sungguh dibawakan oleh Anwar, termasuk dalam beberapa Persidangan Agung Umno sebelum beliau disingkir.
“Hadhari” secara harfiah bermaksud “tamadun.” Lalu, kerja politik pada peringkat yang tertinggi ialah kerja untuk membangunkan tamadun. Tapi, idea Abdullah ini, atau barangkali yang diperah daripada otak tukang fikir di belakang Abdullah, melupakan kenyataan bahawa setiap gagasanharus bertolak daripada “semangat zaman.” Maknanya, dek kerana jelasnya konsep Islam Hadhari itu, dengan sepuluh prinsip, ia tidak lebih hanya untuk menutup kelemahan menggarap semangat zaman. Pembuat dan pembangunkan konsep itu lupa bahawa manusia lebih awal berdiri di atas khayali (imaginasi) masing-masing; bukan daripada hitam-puteh kertas kekuasaan.
Maka, antara imaginasi-dan-realiti tidak pernah terputus hubungannya. Bagai aur dengan tebing. Seandainya sebelum 1998, di dalam benak dan jiwa rakyat Malaysia tidak punya impian untukperubahan, maka slogan “reformasi” yang pertama kali dilaungkan Anwar di rumah Nombor 2, Bukit Damansara tidak akan bersambut sebegitu hangat.
Pemain yang tepu dan berkehendak sangat mencapai kuasa, nampaknya sering sahaja beranggapan bahawa perjuangan harus punya slogan sebagai anak kunci menyumbat doktrin. Kononnya “daya hidup” masyarakat boleh ditiupkan dari sana.
Yang terlihat adalah sebaliknya. Jutaan ringgit dihabiskan untuk menyediakan sessi penerangan terhadap ayat pendek itu; “Islam Hadhari.” Di kaca televisyen, dengan buku-buku dan risalah mewah yang dicetak, dalam program-program mega—yang semuanya berbayar lumayan—mungkinkah konsep eksklusif Islam Hadhari sudah dapat difahami oleh seluruh rakyat Malaysia?
Tujuh gunung pun tanah ditarah dan dijadikan modal untuk menyuntikkan konsep Islam Hadhari, selagi asas hati nurani manusia dilupakan, konsep apa pun akan ditinggalkan. Kita jangan lupa, selain “I Have a Dream” yang terus dikenang-kenang orang dan membawa makna; tidak terhitung banyaknya konsep-konsep dan idea-idea yang lain, yang bertimbun dalam bakul sampah sejarah.
Setiap sampai Januari, atau April, Ogos, orang selalu mengingat Luther. Seperti anak dan isterinya, yang hadir ke gereja di hari pengkebumian Luther; ramai yang mahu dekat kepada mimpinya. Yang tidak serasi dengan idea kebebasan dan demokrasi, suara Sang Tokoh selalu mahu dipadamkan. Apatah lagi dengan koran, majalah, atau apa pun media di negara ini yang tidak pernah punya kesempatan ruang dan waktu untuk membawakan mimpi itu. 1950an, 60-an di Amerika; di sini, hari ini, ada kenyataan yang masih sama, atau, yang lebih buruk.
Hasmi bin Hashim, seorang penulis yang berpolitik dan juga seorang politikus yang menulis.
*Tulisan ini ditulis pada 20 Januari 2006.

No comments: