29 September 2010

Mahasiswa

24 September: kes “Isteri Puaka”. Empat hari kemudian, 28 September, kes “UKM4”.

Dalam perjalanan ke Melaka, semalam, saya membaca berita tak menyenangkan daripada Mahkamah Jalan Duta. Meski empat hari lalu, kes “Isteri Puaka” terlepas, tapi semalam kes “UKM4” sangkut.

Sesiapa yang ikuti kedua kes itu dari awal—dan bukan sekedar enter frame di mahkamah sahaja— pasti sedar bahawa keduanya langsung tidak terkait apa-apa jenis jenayah (criminal). Meski pun coba dikaitkan dengan AUKU, ia dilihat sebagai tidak lebih untuk menekan dan mengongkong mahasiswa daripada terlibat dengan aktivisme.

Di kalangan pemimpin elit Umno, mereka hanya ada satu perkataan, iaitu “politik” dan mereka persis tak pernah tahu apa ertinya “aktivisme”. Bagi mereka, "aktivisme" itu seratus sepuluh persen sama ertinya dengan "politik-kekuasaan".

Bukan pula tidak boleh berpolitik, tetapi kalau politik wajid dengan politik yang tunduk dan bodek kepada elit politik yang berkuasa. Jangan ada kritikan. Jangan ada yang kritis. Sebarang tindakan kritis dan mengkritik adalah ‘haram’, dan semua yang dilabel haram oleh pemerintah wajib 'dihapuskan' dengan apa cara sekalipun, walaupun di kalangan anak-anak mahasiswa sekalipun.

Ini cara elit Umno berfikir, sehingga kes yang tidak melibatkan jenayah sama sekali waima “Isteri Puaka” mahupun “UKM4” sampai perlu terseret ke mahkamah. Ternyata undang-undang draconian sentiasa perlu kepada pemerintah yang lemah.

Kalau mahasiswa tunduk, selamanya leher mahasiswa terikat. Tak ada jalan lain, kecuali seperti kata Wiji Thukul: hanya ada satu kata… lawan!

HH
KL-BP.

25 September 2010

Seputar Debat Calon Ketua AMK 2010

OLEH Muhammad Juwaini

Pada 18 September 2010, bertempat di Taiping Golf Resort, telah dilangsungkan satu 'debat' 3 penjuru (asalnya 4 penjuru) antara calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). Saya berasa bertuah kerana menjadi salah seorang penonton dan mengambil bahagian dalam acara tersebut. Saya ke sana dengan ditemani oleh dua orang adik lelaki.

Debat tersebut dipengerusikan saudara Afendi a.k.a Matsamankati dan disertai oleh Hasmi Hashim, Rafizi Ramli dan Badrul Hisham.

Saya tidaklah terlalu berminat untuk mengulas apa yang mereka perkatakan sebab saya rasa mereka sudahpun menulis tentang manifesto dan harapan mereka di blog peribadi mereka. Saya hanya berminat membincangkan kekuatan, kelemahan dan pandangan peribadi saya terhadap peluang mereka untuk memenangi kerusi Ketua AMK itu.

Pidato mereka dimulakan dengan Hasmi membuka gelanggang, diikuti oleh Rafizi dan diakhiri oleh Badrul.

Dari segi kekuatan, Hasmi mempunyai pengaruhnya yang tersendiri terutamanya di kalangan Komuniti Jalan Telawi dan Sekolah Politik IKD. Beliau adalah seorang penulis yang pandai menari dengan mata pena dan papan kekunci. Tulisannya sentiasa penuh dengan idea dan potensi untuk diperkembangkan menjadi gagasan massa.

Hasmi juga merupakan seorang yang sangat idealis. Beliau melihat dunia ini dari sudut pandangan seorang manusia yang punyai jiwa yang bersih. Saya tidak pasti samada sifat idealis ini merupakan kekuatan atau kelemahan untuk dirinya. Kalau saya mahu beliau jadi sahabat, saya akan sentiasa yakin dia takkan mengkhianati saya. Kalau saya memilih untuk beliau jadi lawan, saya tahu dia takkan main kotor untuk menewaskan saya.

Kendatipun secara peribadinya saya lebih hampir secara peribadi dengan beliau berbanding dua calon lain, tapi secara realistiknya saya tidak fikir beliau akan memenangi pertandingan ini atas sebab-sebab yang akan saya nyatakan kemudian. Dari perspektif sebagai seorang alumnus Sekolah Politik IKD yang mementingkan diri, saya lebih suka beliau kalah. Pada pandangan mata saya, beliau adalah seorang budayawan dan penulis yang hebat. Dalam bahasa anak muda, beliau adalah seorang yang cool. Beliau akan hilang 'aura' cool itu apabila memegang jawatan politik seperti Ketua AMK.

Rafizi pula adalah seorang elitis (berdasarkan pengakuan beliau sendiri walaupun di akhir sesi beliau menolak label tersebut) dan ahli ekonomi yang pintar. Saya tidak layak untuk mempertikaikan merit seorang yang mempunyai ijazah berganda dalam bidang kejuruteraan dan perakauan. Tambahan pula beliau merupakan seorang bekas pelajar terbaik SPM di MCKK dahulu. Makanya dari segi intelektual dan kredibiliti, saya tidak punyai alasan untuk mempertikaikan kehebatan beliau.

Dari sudut pidatonya, beliau adalah seorang yang mempunyai kemahiran berpidato yang baik. Seorang yang mengutamakan isi (hujah) berbanding kulit (gaya). Isu-isu bukan tradisional (ekonomi) yang dibawanya juga bersifat terkini dan merupakan luahan rasa hati anak-anak muda di Malaysia. Isu pembelian kereta, isu pemilikan rumah, isu gaji di Malaysia yang terlalu rendah dan sebagainya, kalau didengari oleh anak-anak muda Malaysia, saya pasti mereka akan memilih beliau sebagai pemimpin masa depan negara. Malahan kalau saya punyai kuasa memilih dalam PKR, undi saya sudah tentunya untuk beliau.

Tapi, ada tapinya...

Calon ketiga yang turut sama bertanding nanti adalah Badrul yang juga dikenali sebagai Chegu Bard. Saya melih Badrul merupakan seorang penarik massa (crowd puller) yang kuat. Pidatonya hebat, agresif dan penuh isi. Beliau mendapat sokongan dari anak-anak muda. Hal ini dapat dibuktikan melalui laungan reformasi yang beliau terima sebelum sesi perdebatan ini dimulakan dan bilangan kehadiran penyokong beliau dari kumpulan penunggang motorsikal yang saya sudah lupa namanya. Tumpuan beliau dalam pidato adalah lebih ke arah memperkukuhkan parti yang mana hal ini berbeza dengan idealisme Rafizi yang lebih menumpukan ke arah menarik undi seluruh masyarakat Malaysia.

Badrul menjelaskan usaha-usaha yang akan beliau lakukan dari aspek perkaderan (recruiting) ahli baru dan gagasan memperkasakan parti. Beliau membentangkan permasalahan yang wujud dalam sayap AMK dan (kredit untuk beliau) idea-idea yang telah, sedang dan akan beliau lakukan untuk menangani permasalahan tersebut. Dalam banyak hal, saya melihat beliau sebagai antitesis kepada Rafizi (dan juga KJ!) dari sudut cara pemikiran dan tindakan beliau. Saudara Badrul adalah seorang yang praktikal (street smart) manakala saudara Rafizi adalah seorang yang lebih ke arah teoretikal (book smart). Kalau mereka berdua sanggup bergandingan, saya pasti mereka akan menjadi regu masa depan yang ideal untuk memimpin Malaysia.

Sekarang saya akan mengulas dari sudut peluang ketiga-tiga calon pula. Saya menggunakan analogi lumba kuda yang merupakan salah satu analogi paling saya gemari. Saya melihat saudara Badrul sebagai kuda terkuat/terlaju (strongest horse), Rafizi sebagai kuda terbaik (best horse) dan Hasmi sebagai kuda stallion (white horse).

Majoriti akhbar siber menulis Hasmi sebagai 'dark horse', tapi saya menolak perlabelan ini kerana bagi saya, cukup sukar untuk saya ketemu sisi gelap pada diri Hasmi (selain dari tabiat merokok beliau!). Namun demikian, saya rasa beliau terlalu 'baik' untuk memenangi pertandingan ini. Beliau tidak pandai 'menikam' kawan dan lawan.

Malam Debat Ketua AMK 2010, Taiping. Badrul, Hasmi dan Rafizi.
Kalau dalam AMK wujud jawatan Mursyidul Am atau spiritual leader (not in a religious way!), saya fikir itu jawatan terbaik untuk beliau. Bahkan beliau sendiri mengakui beliau lebih berusia berbanding dua orang lawannya itu.

Kematangan beliau itu juga dizahirkan melalui diplomasi yang beliau tunjukkan dalam perdebatan ini apabila beliau menjadi timbangtara/pengimbang kepada Rafizi dan Badrul yang dilihat agak cenderung menarik audiens ke arah ekstrem kiri dan ekstrem kanan. (Jangan ditanya siapa pihak kiri mahupun pihak kanan! Siapa yang tonton debat ini, pasti tahu siapa leftist dan siapa mainstream). Kematangan saudara Hasmi ini saya rasa ada kalanya akan menggugat peluang beliau untuk menang pemilihan kali ini.

Saya fikir Badrul akan memenangi pertandingan ini. Beliau mempunyai pengaruh yang kuat berbanding Rafizi yang dikatakan sebagai calon yang baru (walaupun anggapan ini salah!) dan tidak dikenali. Beliau juga mempunyai blueprint yang realistik untuk memperkasakan sayap AMK. Walaupun demikian, saya ulangi sekali lagi pandangan saya yangRafizi adalah calon terbaik untuk jawatan ini walaupun saya sedar beliau mungkin menghadapi kesukaran untuk menang biarpun (dikatakan) beliau mendapat 'endorsement' dari pimpinan tertinggi parti.

Apapun sebagai ahli baru PKR (tetapi penyokong lama PKR khususnya dan PR umumnya!) saya rasa sesiapapun yang menang, AMK akan berada di dalam tangan yang selamat. Semoga pertandingan ini dijalankan dengan penuh integriti dan berdiri atas dasar perjuangan sebenar.

21 September 2010

Keadilan Bukan Umno

Keadilan bukan Umno. Kepada sesiapa yang mengukur Keadilan macam acuan Umno, dia silap.

Parti ini dinamik, malah, yang paling progresif di kalangan wadah-wadah politik lain.

Kalau Umno… ya! Presidennya mempunyai kuasa penuh, bukan sahaja kerana perlembagaan, tetapi kepada kepada budaya atau amalan biasa. Sesiapa yang menjadi presiden pada ketika itu, dialah yang paling berkuasa; sama ada dalam parti mahupun dalam pemerintahan.

Dr Mahathir Mohammad adalah contoh paling jelas. Perlawanan yang pernah wujud oleh Tengku Razaliegh Hamzah tak lain bisul-bisul kecil untuk menentang kekuku-besiannya Mahathir. Namun, seperti biasa, Mahathir putar cerita itu. Dia anggap Umno punya demokrasi dan kerana itu wujudnya pertandingan nombor satu dan nombor dua dalam Umno. Kenyataannya ialah, dek tekanan dan cengkaman kuat Dr Mahathir-lah, maka berlakunya perlawanan.

Berbeza dengan Keadilan. Hampir setiap kali ada pemilihan, maka wujudlah perlawanan. Ia bukan fenomena baru. Termasuk kepada jawatan tertinggi di mana tiga tahun lalu, Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail juga pernah cuba dicabar. Jawatan presiden parti juga silih berganti. Apatah lagi naib presiden dan jawatan-jawatan ke bawah yang lain.

Makna pertandingan di dalam Umno sama sekali berbeza dengan makna pertandingan di dalam Keadilan. Bagi parti ini, paling utama ialah membuktikan kesetiaan kepada parti dan perjuangan. Mereka yang menawar diri, wajar teruji. Tak kira sama ada yang muda atau yang tua. Dan, Keadilan tidak semestinya mengangkat pemimpin itu kerana umurnya tua—sementara ramai sekali orang-orang yang sudah berusia terlewat memasuki parti.

Saya beruntung. Saya bersama parti sejak awal, mesti saya masih muda. Sementara ramai yang menyertai parti yang terlewat itu, lebih tua dari saya. Jadi, di dalam parti, walaupun saya muda, saya bolehlah dianggap sebagai “orang lama”.

Senioriti di dalam Keadilan jelasnya bukan kepada umur, tetapi kepada nombor keanggotaan parti.

HH, KL.

20 September 2010

Jejak Debat Ke Taiping

Khamis-Sabtu: Dari Terengganu sampai Pulau Pinang. Kami lalu jalan darat dari Jeli ke Gerek. Melelahkan, dan sampai di Taiping dalam jam tujuh lebih: 18 September 2010.

Debat AMK adalah sebuah usaha kematangan politik. Itulah “politik pencerahan” lawan “politik intrik” yang merebak parah di era Dr Mahathir Mohammad, atau, apa yang kita sebut sebagai “Mahathirisme”. Orang yang dahulunya lawan Mahathir, kini ramai pula yang terjangkit politik fitnah dan intrik—yang kini kembali bersama Umno-BN.

Debat kelmarin mahu tidak mahu perlu dijayakan bagi membuka lembaran baru politik nasional, bukan sahaja kepada Keadilan, tetapi pentas politik seluruhnya. Saya yakin, ia tetap bakal jadi sejarah demokrasi di Malaysia; akan dikenang anak-cucu kita kelak.

Dari Terengganu, saya hadir dengan agar debat sedemikian dapat dipanjangkan jadi “Debat Perdana” antara calon Perdana Menteri di pehak BN dan Pakatan Rakyat (PR). Dibuat secara terbuka. Langsung di TV dan radio. Di situ, keduanya harus memperjelaskan agenda, janji dan manifesto parti masing-masing.

Dan, rakyat menilai.

Persoalan buruk Mahathirisme lebih 30 tahun lalu ialah demokrasi yang dikacing hari demi hari. Dari aktivisme dan idealis anak-anak muda, termasuk mahasiswa sehingga media yang ditekan dan dikongkong dengan akta yang bukan-bukan. Sudut demokrasi hampir mati dan malang sekali kematian demokrasi dilakukan atas nama bangsa, agama dan negara.

Saya tegaskan, tak ada gunanya pengantian parti politik yang berkuasa andai tidak sedar hal ini; tidak sedar masalah asas anak-anak muda Malaysia bilamana Malaysia menjadi negara autokratik. Kini sifat kuku besi bukan hanya dilakukan oleh seorang pemimpin tertinggi negara, seperti PM, tapi sudah menjadi sistem yang mengakar umbi. Lihat sahaja bagaimana Dr Mahathir mengkritik pengantinya yang bagi Mahathir, Abdullah menggunakan media dan polis untuk mengekang dan menakut-nakutkan orang.

Sebagai usaha pusingan awal, saya kira pentas debat berkenaan adalah pentas terbaik bercakap tentang ruang demokrasi; tentang masalah utama ini. Apatah lagi, payah benar ruang hendak diberikan kepada saya walaupun di dalam parti sendiri—entah mengapa?

Macam yang saya janjikan, saya tidak akan menikam sama ada Badrul Hisham mahupun Rafizi Ramli yang keduanya lebih muda umurnya berbanding saya. Yang hendak saya lawan, jelas—Umno dan Barisan Nasional!

Kepada penganjur, terima kaseh galangan budi.

HH, KL.

19 September 2010

Debat Calon Ketua AMK Tampil Gagasan Besar Tapi Berbeza

TAIPING 18 SEPT: Program debat calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berlangsung dalam suasana kekeluargaan walaupun semua calon yang bertindak sebagai pemidato, membawa gagasan, kaedah dan idea yang berbeza.

Program yang berlangsung di Dewan Teratai, Kelab Golf Taiping, Perak itu dirasmikan Ketua AMK Perak, Abdul Yunus Jamhari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau.

Pada program berkenaan, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parit Sulong, Hasmi Hashim tampil sebagai pemidato pertama yang membentang idea 'Gagasan Pencerahan'.

Beliau mengungkap semula makna dan harapan baru semenjak tercetusnya gerakan reformasi, selain turut menyarankan supaya fungsi seni dan budaya tidak diketepi dalam arus perjuangan.

"Jangan lupa, ahli politik besar adalah pemikir, budayawan dan penulis, antaranya Presiden Soekarno dan Jose Rizal. Penulis zaman baru yang mahu menjadi besar adalah budayawan yang terjun dalam kancah masyarakat dan melihat kesusahan rakyat," katanya.

Bendahari PKR Trengganu, Rafizi Ramli pula menggamit anak muda mengimbas kembali sejarah awal gerakan reformasi sebagai suatu titik perubahan yang membawa politik baru di negara ini.

Beliau berpendapat, semangat kebersamaan perlu pada semua peringkat walaupun setiap kelompok mempunyai kaedah dan mekanisme tertentu dalam melaksanakan agenda reformasi mengikut konteks masing-masing.

"Revolusi Perancis yang dipelopori golongan imiah dan intelek dilakukan bagi melaksanakan perubahan supaya hak rakyat terus dijunjung,” katanya yang mengingatkan anak muda betapa cabaran dalam berdepan dengan Barisan Nasional berbeza dengan era 1998.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard pula menekankan keperluan pembentukan struktur organisasi yang mantap bagi menyantuni golongan eksekutif sehingga masyarakat jalanan.

Justeru, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu mengingatkan anak muda betapa kebergantungan kepada parti semata-mata, akan gagal membentuk generasi muda yang mandiri.

"Struktur yang ada perlu diperkasakan. Rancangan bagi anak muda, terutama dalam negeri Pakatan Rakyat perlu digarap. Reformasi bukanl sesuatu yang romantis tetapi adalah realiti yang perlu dihadapi,” katanya.

Sesi debat itu dipengerusikan pengasas Universiti Terbuka Perak (Ureka), Afendi Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat Saman Kati.

Debat seumpama itu yang melibatkan calon bertanding pada peringkat parti adalah pertama di negara, bertujuan membentangkan pandangan masing-masing secara ilmiah dan akademi.

“Acara seperti ini mesti dibudayakan. Inilah politik baru yang dibawa PKR dan dimulakan golongan anak muda," kata Afendi.

(TVSelangor | Sidiqin Omar)