14 September 2010

Politik Lapuk Perkasa

Rata-rata anak muda tak berminat dengan bahasa politik Perkasa. Ia kasar, malah kadang kala biadap; tak sepadan langsung dengan adab budaya Melayu; nama bangsa yang kononnya diperjuangkan Ibrahim Ali. Sehingga hari ini, tak jelas apakah perincian kepentingan Melayu yang diperjuangkan badan yang berselindung di sebalik label NGO itu?

Kita menerka, Perkasa tak lain tak bukan diwujudkan atau direstui Umno untuk beraksi laksana pembangkang kepada Keadilan dan Pakatan Rakyat yang kini mempunyai “separuh kuasa” dengan memerintah beberapa negeri. Umno tak dapat dan tak punya wibawa politik serta “political will” untuk dalam waktu sama menjadi oposisi apabila Umno sendiri penuh dengan kebejatan. Bertambah mustahil apabila Umno masih tetap sebagai parti pemerintah di peringkat federal.

Orang Melayu, sepertimana kaum lain—sama ada Cina, India dan lain-lain—sesungguhnya tetap punya hak untuk membangun dan mendapat ruang demokrasi di negara ini. Misalnya, peniaga-peniaga kecil Melayu seharusnya tetap bersuara untuk kepentingan bidang dagang dan perniagaan mereka. Begitu juga dengan Melayu dan Bumiputera lainnya yang terpinggir, mereka punya hak bersuara; punya hak memastikan nasib terbela.

Itu di peringkat masyarakat sipil. Di peringkat politik kepartian, adalah sesuatu yang lapuk dan sia-sia andai sesebuah parti atau wadah politik meneruskan dasar perkauman dan assabiyah. Sejarah mengajarkan bagaimana parti politik yang tujuannya untuk meraih kekuasaan sama sekali tidak sesuai mengamalkan dasar perkauman kerana akhirnya akan ada rakyat yang tersisih. Sedang, sewajarnya sesebuah parti politik itu melindungi seluruh rakyat dari kalangan pelbagai kaum sebagai warganegara.

Maknanya, tujuan politik dan tujuan sipil (kemasyarakatan) adalah dua hal yang berbeza. Tak ada satu kaum dan bangsa pun yang derajatnya terlalu istimewa berbanding kaum dan bangsa yang lain di negara ini.

Apa yang sedang dilakukan Ibrahim bakal menjadi orang Melayu umumnya terpandang rendah, caca-marba dan lekeh di mata kaum dan bangsa lain. Cara itu hilang hikmah, kadang kala hilang adab dan sopan ke-Melayuan-nya; hanya dek mahu mempertahan cara dan bahasa politik lapuk yang menjemukan dan ditolak anak-anak muda semasa.

Hasmi Hashim,
Batu Pahat, JOHOR.

No comments: