23 June 2010

Kehancuran Kota

Beliau lahir di Baghdad pada 1926; Abdul Wahab al-Bayati yang menulis puisi—aku meminjamnya hari ini—ketika menyertai pergerakan “massa Tafila” antara 1945 hingga 1957. Tajuknya “Ucapanku” ringkas saja:

Tuan dan puan


Ucapanku ringkas saja
Aku bimbang ia memakan masa.
Lidahku
Bukan batang kayu.
Bicaraku, puan, adalah emas,
Bicaraku, tuan, adalah sebuku kemarahan.
Aku tidak mabuk, cuma letih.
Lilin mula meliuk-liuk lalu padam,
Malamku semakin dingin.
Aku bawa jiwaku dalam bekas kosong,
Seperti anak yang sudah mati,
Kerana pengkhianatan dan muslihat murahan.
Ucapanku ringkas saja,
Dan aku tidak mabuk, hanya melayan derita.
Aku tidak punya kuasa:
Rome sudah hancur
Batinku kelemasan,
Kerana berjuta pengkhianatan dan muslihat mereka.
Selamat tinggal
Tuan dan Puan.
Rome sudah hancur! (Aku tukar maksud kota itu kepada; seni-budaya—barangkali sama saja). Kehancuran adalah tragedi dan sejarah. Mustahil ia kembali—menyamai yang lama, yang sudah hancur itu. Pada zaman Kuala Lumpur dan Malaysia ditiup pembangunan materialisme seperti hari ini; kota yang disebutkan Abdul Wahab, sesungguhnya sebuah Rome yang sudah hancur!
Begitu juga dengan bertempiarannya manusia Melayu seawal 1970-an, mencari serpihan kehancuran abad ke-15 apabila kota Melaka juga hancur! Atau ada yang berkata kegemilangan yang hilang atau disembunyikan (?), atau apa saja. Mudahnya ini juga kehancuran.
Ramai masih ingat pada 1973 berlangsung Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Kuala Lumpur. Enam tahun sejurus itu, sekolah seni lukis di Universiti Teknologi Mara (dulunya ITM) membicarakan pula doktrin “Akar-Akar Pribumi.”
Rupa-rupanya inilah `kota’ yang hancur, hilang dan perlu dicari gali, dikutip; manusia Melayu yang tercabut akar budayanya – untuk terkumpul semula agar membangunkan kembali kota yang punya wajah seraut berteraskan seni budaya sendiri. Inilah juga identiti. Tetapi i.d.e.n.t.i.t.i mungkin persis kota Rome yang hancur—juga kota Melaka.