12 September 2010

Pelita Raya

Saya pun balek kampung. Sebelah malam. Lepas buka. Sampai rumah
emak-abah, agak lewat; pelita di laman sudah ada yang mati tiga-empat
biji. Selebihnya terkebil-kebil, macam orang ngatuk.

Di mesjid, qariah bertaqbir. Sampai subuh.

Rumah kami; rumah pusaka. Peninggalan arwah atuk. Jadi rumah berkumpul
keluarga besar, adik-beradik abah, sepupu-sepupu saya. Sebab saya cucu
sulong, jadi, sejak kecil-kecil lagi, tanggungjawab pasang pelita,
saya buat.

Dulu, di kampung, cari batang getah. Siap cat, warna putih. Agar
nampak lawa. Juga pernah pakai buluh. Buluh lebih lurus berbanding
batang getah yang bengkok-bengkok.

Dari 10 batang kayu pelita, naik jadi lima-belas. Paling banyak pernah
saya pasang keliling rumah 50 batang. Pakai minyak tanah.
Petang-petang, sebelum berbuka sudah siap-siap isi minyak tanah dalam
pelita. Atuk kata, "isi separuh cukup... minyak tanah mahal!"



Saya isi penuh juga. Sebab, nak kasi pelita menyala sampai pagi...
sampai subuh. Kalau isi separuh, tengah malam pukul 1-2 pagi sudah
padam, apinya. Kena menyala sampai pagi, sebab nak tunjuk kepada orang
bandar yang balik kampung, yang, kampung kami cantek.

Ikut 'syaratnya', pelita mesti dipasang 10 hari sebelum raya. Kata
nenek, sebab nak sampai malaikat turun ke dunia, iaitu pada malam
"lailatul-kadar": malam yang penuh hikmat. Mohonlah apa sahaja.
Jadi, sebagai tanda hormat, maka, apa salahnya pasang pelita. Agar
jadi terang.

1990, timbul debat. Pasang pelita hukumnya "haram". Saya sedar
bisik-bisik kata orang, pasang pelita "budaya Hindu". Tak saya tahu,
entah betul entahkan tidak. Yang saya pasti, nenek yang selalu
ingatkan pasang pelita bukanlah penganut Hindu. Dia muslim yang taat,
tak tinggal sembahyang. Tak tinggal puasa. Sambung lagi puasa enam
lepas raya pertama, sampai raya ke tujuh. Raya ke-lapan baru dikira
hari lebaran untuknya.

Jadi, saya tak pasti entah dari mana datang tuduhan yang pasang pelita
adalah budaya Hindu; "ikut-kut orang kafir," seperti kata segelintir
orang. Saya lihat, sudah mula ada yang tak pasang pelita lagi sebab
takut ikut budaya Hindu...

Tapi, debat itu mati pelan-pelan. Ada rumah ustaz yang sudah mula
pasang pelita semula. Tahun sebelumnya, dia hanya pasang lampun
mentol; tapi apabila dituduh "mentol adalah budaya Kristian", ustaz
jadi bingung, agaknya. Semua bukan budaya Islam. Sudahnya pelita tak
boleh, mentol pun tak boleh; lalu, apakah umat Islam perlu bergelap!?

Hari ini, saya sudah tak pasang pelita. Tak cari kayu getah atau
batang buluh. Tak isi minyak. Hanya tiap tahun, saya akan telefon
adek, supaya jangan lupa pasang pelita--itu budaya Melayu untuk sambut
Idul Fitr. Budaya ini tidak jatuh hukum haram yang putus dan jauh lagi
berdosa besar. Malah, bukan dosa bilamana niatnya untuk sambut tetamu;
meraikan hari kemenangan.

Tahun ini, adek lelaki saya (saya hanya ada seorang adek lelaki yang
menggantikan peranan dan tangungjawab anak lelaki di rumah) sudah
masuk universiti. Dia pulang ke kampung juga agak lewat; tiga-empat
hari sebelum hari raya.

Masih sempat lagi dia pasang pelita, dibantu dua adek perempuan saya
yang masih di sekolah menengah. Saya ada dua anak saudara kembar,
laki-laki dan masih kecil. Mungkin satu hari nanti, mereka yang akan
sambung tradisi pasang pelita raya.

Saya sampai rumah lewat malam. Sudah jadi "orang bandar", agaknya.
Ingin nikmati keindahan pelita, kerana ia adalah diri saya sendiri,
sejak, kecil-kecil dulu. Pasang pelita raya.

Hasmi Hashim,
KL-Batu Pahat.

No comments: