21 September 2010

Keadilan Bukan Umno

Keadilan bukan Umno. Kepada sesiapa yang mengukur Keadilan macam acuan Umno, dia silap.

Parti ini dinamik, malah, yang paling progresif di kalangan wadah-wadah politik lain.

Kalau Umno… ya! Presidennya mempunyai kuasa penuh, bukan sahaja kerana perlembagaan, tetapi kepada kepada budaya atau amalan biasa. Sesiapa yang menjadi presiden pada ketika itu, dialah yang paling berkuasa; sama ada dalam parti mahupun dalam pemerintahan.

Dr Mahathir Mohammad adalah contoh paling jelas. Perlawanan yang pernah wujud oleh Tengku Razaliegh Hamzah tak lain bisul-bisul kecil untuk menentang kekuku-besiannya Mahathir. Namun, seperti biasa, Mahathir putar cerita itu. Dia anggap Umno punya demokrasi dan kerana itu wujudnya pertandingan nombor satu dan nombor dua dalam Umno. Kenyataannya ialah, dek tekanan dan cengkaman kuat Dr Mahathir-lah, maka berlakunya perlawanan.

Berbeza dengan Keadilan. Hampir setiap kali ada pemilihan, maka wujudlah perlawanan. Ia bukan fenomena baru. Termasuk kepada jawatan tertinggi di mana tiga tahun lalu, Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail juga pernah cuba dicabar. Jawatan presiden parti juga silih berganti. Apatah lagi naib presiden dan jawatan-jawatan ke bawah yang lain.

Makna pertandingan di dalam Umno sama sekali berbeza dengan makna pertandingan di dalam Keadilan. Bagi parti ini, paling utama ialah membuktikan kesetiaan kepada parti dan perjuangan. Mereka yang menawar diri, wajar teruji. Tak kira sama ada yang muda atau yang tua. Dan, Keadilan tidak semestinya mengangkat pemimpin itu kerana umurnya tua—sementara ramai sekali orang-orang yang sudah berusia terlewat memasuki parti.

Saya beruntung. Saya bersama parti sejak awal, mesti saya masih muda. Sementara ramai yang menyertai parti yang terlewat itu, lebih tua dari saya. Jadi, di dalam parti, walaupun saya muda, saya bolehlah dianggap sebagai “orang lama”.

Senioriti di dalam Keadilan jelasnya bukan kepada umur, tetapi kepada nombor keanggotaan parti.

HH, KL.

No comments: