24 August 2010

Testamen Politik Anak Muda I

Menggaris-luruskan Sejarah
Sejarah selalu bengkang-bengkok. Termasuk sejarah kemerdekaan Tanah Melayu. Atas kesedaran dan keinsafan ini, maka perlu dinyatakan dengan sejelas-jelasnya bahawa sejarah kemerdekaan Tanah Melayu bukan hanya bersisi “damai”. Kemerdekaan bangsa dan tanah air kita juga dengan korban jiwa.
Adalah dusta besar apabila sejarah kemerdekaan Malaysia hanya didominasi oleh parti-parti politik. Bertambah dusta apabila cuba digambarkan hanya oleh sebuah parti politik. Perjuangan, malah kesedaran tentang wujudnya kezaliman oleh pemerintah (penjajah) tercetus bahkan sebelum wujudnya parti-parti politik. Adalah mustahil kesedaran atau perjuangan parti mendahului perjuangan insan; sedangkan parti itu sendiri wujud (tertubuh) kerana kesedaran manusia.
Nama-nama seperti Tok Janggut, Tok Bahaman, Mat Indera dan ramai lagi tidak boleh dipandang sebagai di luar kegigihan menuntut kemerdekaan. Tanpa menolak tokoh-tokoh yang lahir selepas wujudnya parti politik; namun sangat mendukacitakan, sangat rugi dan tidak benar andai hanya tokoh atau nama tertentu sahaja dimuatkan sebagai pejuang kemerdekaan.
Samalah halnya apabila disemak soal parti yang berjuang untuk kemerdekaan.

06 August 2010

Keras Betol

(Catatan yang Merentas Dua Tahun)
AKU menulis pada tahun yang lain, sewaktu ada orang politik yang berkata “kau keras.” Sedangkan aku OK-OK sahaja. Kerana, ada yang telah jadi latar…
“Keras”: barangkali merujuk “tiada cukup berhemah”—penolakan separuh; penerimaan separuh. Lima puluh-lima puluh. Dan dalam ‘politik helah’, separuh-separuh adalah jalan terbaik, kerana kita tahu politik di sini belum tentu terhubung antara cakap-dengan-buat.
Aku balek; merenung—membedakannya dengan ‘kata-kata politik’ dengan” kata orang politik.” Dan politik, pun politik yang bila-bila masa terdedah menjadi kerja yang paling rendah moral, yang, diungkapkan oleh Anwar Ibrahim muda sebagai “low morale and uncharismatic profession.” Seraya itu, pekerjaan yang paling rendah moralnya inilah yang dianggap Ir Soekarno sebagai kuasa paling gagah, dengan ungkapannya yang mashyur: “politik adalah panglima.” Ir ini adalah bapa revolusi Order Lama (Orla) Indonesia; dan Anwar ini adalah pengemudi idealismereformasi sezaman.